Wednesday, September 28, 2005

Borang dan isinya

oleh Hishamuddin Rais

Saya adalah manusia yang paling segan untuk mengisi borang. Atau lebih
tepat lagi saya malas mengisi borang. Saya tidak tahu dari mana perangai malas
mengisi borang ini muncul. Seingat saya dari zaman bersekolah rendah lagi
saya cukup tidak suka mengisi borang. Saya tidak tahu apakah ada lagi
orang-orang lain dalam dunia ini yang semalas saya dalam hal mengisi
borang.

Kerana perangai malas hendak mengisi borang ini maka saya tidak pernah cuba
memasuki apa-apa jenis pertandingan. Saya tidak pernah memohon apa-apa
projek. Tidak pernah ingin melamar kerja. Kerana selalunya dalam
pertandingan, minta projek atau melamar kerja kita diwajibkan mengisi
borang yang berjela-jela. Apa tujuan mengumpul data ini tidak pula saya ketahui.
Nama, tarikh lahir, tempat kelahiran, nama ibu, nama ayah, tinggi, jantina,
warna rambut dan pelbagai macam maklumat yang dikhendaki diisi ke dalam
borang.

Kali terakhir saya mengisi borang dengan agak serius ialah semasa saya
mendaftar diri untuk masuk ke Universiti Malaya. Macam-macam yang
dikehendaki - bukan sahaja keputusan Higher School Certificate, tarikh saya
bersunat pun dikhendaki sama. Semenjak dari itu saya berjanji saya tidak
akan ambil 'pot' lagi dalam hal ehwal mengisi borang ini.

Semasa saya tinggal di Belgium dan berulang alik ke London saya cukup bosan
mengisi borang kad - Embarkation dan Disembarkation - semasa melintasi
pelabuhan Dover atau Ostend. Nama, jantina, alamat, tarikah lahir daan
warga negara - semua perlu diisi ke dalam borang visa. Satu ketika kerana terlalu
bosan mengisi borang yang telah berpuluh-puluh kali diisi, lalu saya
menulis - Not enough of it - diruang SEX dalam borang visa ini. Pegawai imigrisen
British di Dover tidak melihat ini sebagai lawak. Tetapi ini berlaku
ditahun 80an bukan di era Osama. Kalau sekarang saya lakukan mungkin saya akan
ditendang keluar atau ditahan sebagai penjenayah seks.
Pegawai imigrisen itu dengan serius menyuruh saya mengisi satu lagi borang
yang baru.

Mari kita fikirkan - apakah betul-betul ada gunanya borang-borang yang
telah diisi ini. Rasa saya ini kerja yang sia-sia. Jika orang Indon ingin masuk
ke Malaysia secara haram pasti ada cara lain. Tidak ada borang yang akan dapat
menahan kesampaian mereka. Atau jika seorang Amoi dari Xian, China yang
telah dijual sebagai pelacur di Bukit Bintang, tidak mungkin Minah ini akan
dapat diselamatkan melalui borang yang telah diisinya di KLIA.

Tiga tahun dahulu Japan Foundation telah menjemput saya untuk melamar
menjadi felo di sebuah universiti di Tokyo. Sebenarnya saya tertarik juga
untuk bertandang ke Tokyo tetapi apabila saya melihat borang yang wajib
diisi hati saya menjadi tawar. Selain dari tarikh lahir dan jantina, saya
juga perlu membutirkan tulisan-tulisan, diploma dan ijazah yang saya
miliki. Tahun berapa, universiti mana dan pangkat berapa.
Kerana malas mengisi borang lalu saya tuliskan - sila google Hishamuddin
Rais - semuanya data tersimpan lengkap. Japan Foundation ini pun tidak ada
sense of humour - old school. Hasilnya, saya tidak mendapat biasiswa
tersebut.

Kerana pengalaman ini saya terfikir untuk membuat satu CD tentang biodata
saya. Apabila diminta mengisi borang maka saya akan serahkan CD ini tanpa
perlu mengisi borang. Rasa saya cara ini lebih selamat dan tidak membuang
masa.

Ketika saya ditahan di Kamunting dahulu adalah zaman yang paling banyak
saya mengisi borang. Borang pertama di Balai Polis Sentul, borang kedua di
tempat tahanan sulit - kemudian saya terus-menerus mengisi borang tidak
berhenti-henti. Pindah ke bilik yang lain saya wajib mengisi borang baru.
Pindah ke penjara yang baru satu lagi borang wajib diisi.
Banyangkan berapa banyak pokok yang telah tumbang untuk dijadikan kertas
agar saya dapat mengisi borang.

Apa jadinya dengan semua borang-borang yang telah diisi ini? Berapa tahun
agaknya borang ini akan disimpan. Saya akui jika borang ini di United
Kingdom atau di Australia mungkin ianya akan tersimpan lama. Ini terbukti
kerana keputusan peperiksaan Tony Blair semasa dia dalam darjah lima pun
masih ada dalam simpanan sekolah lamanya. Ini budaya barat yang bersalut
dengan sejarah. Tetapi di Malaysia - negara yang tidak memiliki nilai
sejarah - rasa saya dalam dua tiga bulan borang- borang ini akan hilang
lesap.

Tidak percaya? Buktinya - saya telah mendengar banyak cerita tentang borang
hilang. Borang ini hilang bukan kerana telah lama disimpan.
Borang yang baru dihantar pun boleh lesap entah ke mana. Tanyalah
sahabat-handai dan kenalan kita, pasti mereka akan becerita tentang kes-kes
borang hilang setelah dihantar ke pejabat. Bila saya mendengar kesah borang
hilang saya merasa cukup kasihan kepada si Mamat yang terpaksa bersusah
payah mengulang mengisi borang sekali lagi.

Kadang-kadang borang ini perlu dilengkapkan dengan satu gambar kecil.
Nah bayangkan siapa agaknya yang akan melihat gambar ini. Mengisi borang
dengan gambar ini sering dijadikan syarat apabila melamar kerja. Borang
melamar kerja ini untuk saya lebih teruk dari mengisi borang di Abu Gharib.
Keputusan dari darjah satu, SPR, LCE, SPM, hingga ke tahun akhir di
universiti semuanya perlu ditulis kembali. Kemudian isikan pula sukan apa
yang dicampuri, persatuan apa, hobi apa dan seribu satu soalan yang wajib
diisi. Hanya data tentang warna seluar dalam sahaja yang tidak diminta.

Mari kita menjadi manusia jujur - berapa ramaikah si Mamat yang mendapat
kerja kerana cekap mengisi borang. Bukankah calon-calon ini akan juga
dipanggil untuk ditemubual jadi apa perlunya gambar dan fakta-fakta remeh
ini. Kenapa kita - orang dewasa - suka menyeksa anak-anak muda ini walhal
kita sendiri tahu peluang mendapat perkerjaan lebih cerah bukan bukan
melalui mengisi borang tetapi hasil dari temubual. Ramai juga mendapat
peluang kerja bukan kerana borang tetapi kerana jaringan-jaringan pribadi.

Minggu lepas saya diwajibkan mengisi borang. Saya tidak banyak pilihan
kerana saya diwajibkan membuka akaun di bank. Saya belum memiliki akaun
bank kerana - pertama saya malas hendak mengisi borang. Kedua - saya tidak
memerlukan bank akaun kerana saya tidak memiliki duit untuk disimpan.
Lainlah kesnya jika saya telah mendapat permit AP, pasti saya akan bergegas
ke bank untuk mengisi semua borang yang perlu diisi. Bank akaun ini dibuka
bukan kerana saya memiliki duit tetapi untuk membuktikan bahawa saya adalah
rakyat Malaysia kerana memiliki bank akaun. Ini salah satu tanda yang saya
'patriotik' terutama dalam bulan Ogos ini.

Sebenarnya, saya merasa terseksa semasa mengisi borang bank ini. Saya perlu
mengisi pelbagai butir diri termasuk agama saya. Saya hairan apa perlunya
diketahui agama pelanggan dengan akaun bank ini. Apakah jika telah
diketahui jenis agama saya maka bererti duit yang saya masukkan ke bank ini semuanya
duit halal dan bukan duit rasuah? Apa akan terjadi jika saya mengatakan
bahawa saya pengikut Ayah Pin atau belum memiliki agama? Semua ini adalah
soalan-soalan cepu emas yang masih belum terjawab.

Memang banyak betul ruang yang perlu saya isi. Nasib saya agak baik kerana
saya telah dibantu oleh seorang pegawai bank yang baik hati setelah melihat
saya terkia-kial dengan pen. Kalau tidak, mungkin saya perlu bermalam di
bank ini kerana tidak kecukupan masa untuk mengisi sebuah borang.

Tempat akhir yang wajib saya isi ialah ruang - Apa Nama Yang Ingin
Dipanggil. Di ruang ini ada tertera - Tuan, Encik, Puan, Datuk, Datin, Tan
Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka, Tun dan seribu satu jenis pangkat yang wujud
di Malaysia. Bila terlihat ruang ini, dengan cepat saya tersenyum dan
berfikir inilah peluang saya untuk menjadi Datuk Seri.
Lalu saya menandakan Datuk Seri untuk tambahan panggilan nama saya.
Apabila bank ini menghantar surat kepada saya nanti maka bank ini akan
menulis Datuk Seri dipermulaan nama saya.

Ha ha ha, baru sekarang saya sedar bahawa di Malaysia ini bukan sahaja
Sultan dan Agung yang memberikan darjah kebesaran - bank pun boleh
memberikan kita pangkat Datuk atau Datuk Seri. Sekarang semuanya jelas
kenapa di negara kita ini terlalu ramai Datuk, Datin, Tan Sri dan Tun.
Ini kerana ramai pelanggan bank ini yang telah diberi darjah kebesaran.
Saya juga merasa begitu bangga kerana saya kini bertaraf Datuk Seri.
Inilah kali pertama saya merasa berbaloi mengisi borang. Saya telah menjadi
Datuk Seri sekarang dan saya masih lagi menunggu surat pertama dari bank
ini.

No comments: