Monday, October 10, 2005

Antara Konsert dan Forum Perdana

Oleh Luchman, Salmah Mat Hussain & Rizal Tahir

LEBIH 40,000 orang menyaksikan konsert Tautan Kasih
yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan
menampilkan juara Akademi Fantasi 3, Mawi pada 30
September lalu.

Bilangan pengunjung yang ramai itu menyebabkan pihak
penganjur terpaksa menyediakkan skrin besar di
beberapa penjuru berdekatan Padang Perdana. Tiada
siapa yang merunggut, biar pun ramai terpaksa bersila
di atas jalan dan padang menyaksikan persembahan yang
julung-julung kali diadakan di Kelantan.

Sebaliknya pada malam yang sama Umno Kelantan
menganjurkan Forum Perdana di Ketereh dengan
menampilkan penceramah-penceramah, yang dikatakan
antara percubaan menyekat orang ramai hadir ke konsert
alternatif.

Itulah dua peristiwa berlaku pada malam 30 September
lalu, yang dianggap pemerhati politik, persaingan
untuk mempamerkan kekuatan di antara Umno dan PAS di
Kelantan. Siapa sebenar pandai memikat?

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
dalam kenyataan terbukanya berhubung penganjuran
konsert itu berkata, program terbabit diadakan
sebahagian daripada agenda pengisytiharan Kota Bharu
Bandar Raya Islam.

Bagaimanapun hasrat murni tersebut cuba dipertikai
Umno khususnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Kelantan, Dato’ Annuar Musa yang menganggap sebagai
gimit politik dan retorik PAS semata-mata.

Adun Kok Lana situ dilaporkan berkata, keputusan
penganjuran konsert menampakkan PAS Kelantan telah
menghalalkan cara, walaupun pada prinsipnya parti itu
menolak hiburan yang melalaikan.

Bagaimanapun mereka yang hadir menyaksikan persembahan
berkenaan boleh merungkai sendiri isu yang dibangkit
Ketua Pembangkang di DUN Kelantan. Pada persidangan
DUN semalam, wakil rakyat itu mendedahkan sebanyak
RM700,000 diperuntukan bagi menjayakan konsert
tersebut.

Menjawab persoalan itu, anggota Exco, Takiyuddin
Hassan berkata, jumlah sebenar yang dibelanjakan masih
di peringkat audit pihak terbabit. “Bagaimanapun
jumlah RM2 juta yang diperuntukan kerajaan negeri
termasuk lebih 20 program yang disusun khas menjelang
pengisytiharan Bandar Raya Islam sebulan lalu.

“Sedangkan kita dimaklumkan semasa pelancaran Bulan
Kemerdekaan di Dangga Bay, Johor Bahru lebih RM2 juta
diperuntukan hanya bagi satu program sahaja,” ujarnya
pada persidangan DUN hari ini.

Menteri Besar sebelum ini menyimpulkan apabila
seseorang itu tidak minat kepada Islam, sudah tentu
dia akan memandang serong setiap apa yang dilakukan di
Kelantan.

Persaingan melebarkan pengaruh dengan penganjuran
konsert alternatif dan forum perdana memperlihatkan
kecerdikan sebenar seorang pemimpin. Di program forum
perdana dikatakan kira-kira 3,000 hadir. Itu pun
sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah yang diangkut
dengan bas.

Manakala guru-guru sekolah lebih awal lagi menerima
surat dipaksa hadir. Kedatangan mereka mesti
ditandatangani di majlis forum. Biar pun konsert
Tautan Kasih difokus kepada hiburan, namun kuliah
agama dan peringatan tentang akhirat tidak dilupakan.

Ini dibuktikan dengan pendapat ramai golongan belia
dan remaja yang ditemui. Mereka melahirkan rasa puas
hati terhadap konsert alternatif dan program
pengisytiharan Kota Bahru Bandar Raya Islam, baru-baru
ini.

Wan Norasikin Wan Kamrudin, 18 dari Pengkalan Chepa
berkata, “Saya duduk di hotel selama dua hari dengan
keluarga kerana nak tengok dua konsert yang diadakan
oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau melahirkan gembira dengan perjalanan konsert
program dua hari itu. Kalau boleh diadakan lagi,
pintanya. Remaja itu juga cukup setuju dengan
pengasingan tempat duduk antara lelaki dan perempuan.
“Macam inilah bagus, tak perlu nak himpit-himpit,
nanti ada orang ambil kesempatan” katanya.

Hisyam Mohamaad, 28 tidak menafikan kedatangan Mawi ke
Kelantan pada dua program tersebut amat bermakna
sekali, lebih-lebih lagi orang ramai yang hadir
mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

“Mungkin sekiranya Mawi sudah wujud sejak awal
pentadbiran kerajaan negeri, mungkin konsert seperti
itu sudah lama diadakan,” katanya. Namun beliau
berharap konsert seumpama itu diadakan di tempat yang
lebih luas pada masa akan datang.

“Orang terlalu ramai, bersesak-sesak kalau tempat yang
lebih luas selesa sedikit” pintanya. Seorang peniaga,
Munirdin Hashim, 33 menjelaskan konsert alternative
yang dijayakan di sini boleh dicontohi negeri-negeri.
Program itu bermula dengan sembahyang.

Anggota Dewan Negara, Senator Siti Zailah Mohd Yusof,
ketika reaksinya menyifatkan konsert alternatif
sebagai percubaan berani kerajaan negeri dan ia patut
dicontohi negeri-negeri lain.

Pengasingan tempat duduk dan dimulakan program dengan
sembahyang berjemaah sewajarnya diambil panduan.
“Kalau konsert di tempat lain sudah tentu berlaku
percampuran antara lelaki dan perempuan secara bebas.
Alhamdulillah Kelantan telah membuktikannya bahawa
konsert sebenarnya boleh diadakan dalam suasana tenang
dan beradab,” ujarnya.

Ketua Nisa’ Pusat, Mastura Mohamad turut mengucapkan
tahniah pada Kerajaan Kelantan di atas kejayaannya
menganjurkan dua program besar yang mendapat sambutan
hangat.

Katanya, Kelantan telah berjaya melepasi tahap
percubaannya dengan cukup berjaya apabila dua program
yang dihadiri artis paling popular dewasa ini, Asmawi
Ani dan M. Nasir mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Bukan itu sahaja ianya berada dalam suasana yang
cukup aman, tenang dan selesa biar pun kehadiran orang
ramai begitu ramai sekali,” ujarnya.

No comments: