Thursday, July 05, 2007

‘Muslim’ Pencemar Islam

Dulu masa belajar pun selalu tengok pak-pak arab sembahyang sambil dukung anak kecik diorang. Masjid kita disini terpampang label ' Kanak-kanak yang belum bersunat sila ke saf belakang' (or something like that). Kenapa ye?


Posted By saifulislam On June 21, 2007 @ 12:03 am

dialogue.JPG

Peserta IYEP membentangkan idea mereka tentang Conflict Solutions

[1] Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) yang baru melabuhkan tirainya semalam, telah memberikan saya pelbagai suntikan idea tentang pelbagai perkara. Banyak yang perlu dianalisa, justeru banyak juga yang perlu ditulis untuk dikongsi bersama pembaca.

Rata-ratanya, saya amat berpuas hati dengan kualiti peserta. Setiap seorang yang memohon untuk menyertai program ini perlu menulis sebuah karangan untuk menyatakan sebab minatnya kepada program seperti ini, dan ia diikuti dengan temubual melalui telefon kepada peserta.

Nyata sekali, assessment itu telah berjaya memilih peserta yang tepat dan saya amat teruja dengan tahap pengetahuan anak-anak muda ini dengan pelbagai isu yang diperkatakan.

Hinggakan Karen Armstrong sendiri mendapat pelbagai ’bahan baru’ yang beliau mohon kebenaran peserta untuk menggunakannya di dalam ucapan dan penulisan. Sememangnya sesi soal jawab dan bengkel telah menonjolkan bahawa 50 warga IYEP kali ini adalah pemimpin masa depan yang hebat, semoga Allah memanjangkan umur saya untuk menyaksikannya.

Namun, keghairahan dan kegembiraan kami dengan pelbagai pengalaman baru, telah tercemar oleh suatu insiden yang amat memalukan, khususnya kepada Islam.

LAWATAN KE RUMAH IBADAT

depart.JPG

Peserta bersiap sedia menaiki bas untuk lawatan ke rumah ibadat

Pada hari kedua program, kami telah merangka lawatan ke Kuil Hindu dan Buddha serta Gereja Katholik di Kajang. Lawatan dijangkakan berakhir dengan kunjungan kami ke sebuah masjid terkemuka di tanah air kita.

Urusan telah dibuat sejak sekian lama dan pelbagai aturcara telah disusun.

Paling mengagumkan kami ialah kesungguhan Kuil Hindu yang mengatur pelbagai acara, menyediakan makanan vegetarian untuk peserta dan juga mengadakan sesi soal jawab untuk peserta.

Kesungguhan yang sama juga ditunjukkan oleh Kuil Buddha yang kami lawati. Sesi dialog amat menarik. Walaupun ada soalan ’mengarut’ dari peserta tetapi ia dijawab dalam suasana yang ceria dan gembira oleh setiap yang berada di situ kerana tujuan kunjungan kami adalah untuk belajar.

Di peringkat pengaturcaraan program, Gereja Katholik kelihatan agar gementar. Melalui diskusi sebelum berlangsungnya IYEP, nampak sedikit kerisauan dan kami memahaminya kerana perkembangan semasa di Malaysia yang agak panas (Kes Lina Joy dan lain-lain). Namun, akhirnya kami berjaya mengatur lawatan yang sungguh harmoni dan paling saya hargai ialah, paderi yang sepatutnya menyambut kami telah meminta bantuan pegawai lain memandangkan dirinya terpaksa ke hospital untuk pemeriksaan jantung.

Suasana dialog sungguh baik.

Kami telah beberapa kali mengingatkan peserta agar menjaga suasana dengan tidak bersuara tinggi semasa di gereja itu. Suasana sepi adalah sangat penting bagi sebuah gereja Katholik. Namun, orang muda tetap orang muda. IYEP kali ini menerima peserta yang ada sangat banyak bahan untuk dingomelkan. Akan tetapi pihak gereja amat berlapang dada dan tersenyum sahaja dengan kerenah sesetengah peserta.

kuilhindu.JPG

Peserta IYEP semasa sesi dialog di Kuil Hindu di Kajang

kuilbuddha.JPG

Kuil Buddha juga bersungguh–sungguh menyambut kami

Selepas lawatan selesai, kami dengan penuh girang dan ceria menuju ke masjid terkemuka tersebut.

MASJID OH MASJID

Semasa tiba, tiada siapa yang menyambut kami.

Kakitangan keselamatan pula menyulitkan peserta kerana tidak mengizinkan penggunaan beberapa tandas.

Alhamdulillah seorang juruteknik telah memberikan kami video klip untuk ditayangkan kepada peserta. Segalanya kami lakukan sendiri dan amat mendukacitakan apabila video klip selama 10 minit itu hanya ghairah bercerita tentang aspek-aspek seni bina masjid itu sahaja, tanpa ada langsung menyentuh tentang Islam sebagai intipati sebuah masjid.

Soal jawab dikendalikan oleh Komiti IYEP

Rasa tidak selesa tidak terhenti di situ.

50 peserta telah bersedia untuk masuk ke masjid dan yang perempuan telah pun memakai tudung dan jubah yang disediakan.

”Berhenti! Orang bukan Islam hanya boleh sampai di sini sahaja!”, sergah seorang kakitangan keselamatan masjid.

”Jangan cemar kesucian masjid ini!”, katanya lagi.

Kesemua peserta terkejut. Saya sendiri sudah panas telinga.

”Encik, kami sudah buat urusan sejak lebih sebulan yang lalu”, salah seorang AJK memberikan penjelasan.

”Mana surat Imam? Kalau tak ada surat Imam, tak boleh masuk. Waktu lawatan sudah habis!”, pekerja tersebut bercakap dengan begitu kasar kepada kami. Manakala dua tiga orang yang lain sibuk mengepung tangga masjid agar peserta yang sangat teruja ingin melihat masjid, tidak menjejakkan kaki ke atas anak tangga.

Kami cuba mendapatkan Imam, tetapi malang sekali kerana Imam sudah balik. Ada pegawai memberi alasan yang Imam balik kerana kami datang selepas waktu pejabat sedangkan Imam harus bersiap sedia sebelum datang ke masjid semula malam nanti.

Ada pegawai memberikan alasan lain, bahawa kononnya Imam ada urusan dengan anaknya!

Paling mendukacitakan kami, usaha kami untuk mendapatkan penjelasan dibalas dengan herdikan dan suara nada tinggi.

”Encik bagi surat lambat kan?”, salah seorang kakitangan masjid cuba membuat tuduhan liarnya.

”Jangan cakap sebarang cakap. Rujuk balik surat menyurat dan panggilan telefon yang sudah dibuat. Kira berapa hari, berapa minggu, berapa bulan!”, saya panas hati dengan kelakuan mereka.

”Apa-apa pun, memang orang bukan Islam TIDAK BOLEH masuk ke masjid. Itu peraturannya”, salah seorang ustaz yang ada meninggikan suara.

”Peraturan siapa? Peraturan agama? Apa yang saya tahu, Rasulullah SAW menerima semua jenis manusia ke dalam masjid. Soal jawab di dalam masjid. Malah badwi Arab sampai kencing di dinding masjid. Tetapi Rasulullah tidak menegah mereka dari mengunjunginya. Hukum mana yang tuan pegang?”, saya cuba mencari penjelasan.

”Saya pergi ke kuil Hindu, Buddha dan Gereja Kristian… saya senang hati dan gembira. Tapi bila saya datang ke tempat saya sendiri, masjid ini… saya sakit hati dengan cara masjid melayan tetamu. Kami bukan walk-in tourists. Kami sudah berurusan dengan masjid sejak sekian lama”, saya masih belum berpuas hati.

Tangan pun sudah seram sejuk menahan marah.

Andaikata tidak boleh sekali pun, kakitangan masjid sepatutnya boleh menjelaskan hal ini dengan cara yang beradab. Tetapi kami diherdik, dimaki hamun, dan apabila saya menyebut begitu, saya memang maksudkan ia sebagai HERDIK dan MAKI HAMUN.

”Masalahnya kamu datang selepas waktu pejabat. Sebab itu tak ada orang nak layan”, kata salah seorang mereka.

”Kami bukan datang mengejut. Memang sejak awal kita sudah bersetuju bahawa lawatan ini ialah pada waktu petang seperti ini. Paderi yang sakit boleh minta bantuan pegawai lain, tapi Imam tak boleh dapatkan pengganti?”, saya semakin berang tetapi cuba tidak mengulangi pendekatan usia 20an yang kalau dalam kes seperti ini, mungkin saya sudah mengeluarkan perkataan yang lebih keras, kesat dan tajam.

”Sekarang ini, semua orang seronok ke gereja, ke kuil Hindu dan Buddha, tetapi kena maki hamun di masjid. Kalau orang tak minat dengan Islam, orang Murtad, kamu nak salahkan siapa? Cuba cakap dengan saya… alangkan saya yang Muslim pun sakit hati, orang lain apatah lagi!”, saya sedang mengawal letupan.

Pelbagai alasan yang mereka berikan. Akhirnya mereka berkata bahawa mereka menerima arahan orang atas untuk tidak membenarkan orang non Muslim masuk ke masjid.

”Oh, orang atas. Kalau orang atas cakaplah orang atas. Jangan cakap hukum Islam, sebab Islam tak macam tu”, saya meneruskan cakap.

”Kenapa orang boleh buat benda tak elok atau cakap yang tak elok dalam masjid? Sebab tak ada orang masjid yang nak jawab soalan, melayan tetamu. Macam hari ini!”, kata saya lagi.

Perasaan bertukar menjadi sedih.

Saya sudah malas untuk meneruskan perbalahan kerana jam pun sudah mencecah 6:15 petang.

Banyak lagi isu yang dipergaduhkan di sepanjang 20 minit pertengkaran saya dengan pegawai masjid tersebut.

‘SAPU SAMPAH!’

Semasa sharing moment peserta di hotel pada sebelah malamnya, isu ini timbul semula. Saya terpaksa membuat justifikasi agar maruah Islam tidak jatuh dan hina disebabkan oleh kelakuan buruk ’orang-orang agama’ Islam itu sendiri.

I’m hoping that the incident occurred in the Mosque today, would be a positive lesson for each of us. Even though we have many ideal solutions to offer, we have to admit that people out there are far for ready to accept changes in attitude about religion.

In order to achieve our dream, we must first be able to think positive and learn to differentiate between the custom and widespread misunderstanding among the people, with the true Islam that is so far away from what we have seen today”, saya cuba menenangkan peserta.

Saya cuba berkongsi pengalaman dengan peserta tentang pendekatan saya semasa menjadi Imam di Belfast Islamic Centre.

Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dapat memulihkan kembali imej Islam yang telah diburukkan oleh masjid dan orang-orangnya siang tadi.

Karen Armstrong telah lebih berjaya mengangkat imej Islam berbanding ‘ceramah’ dan akhlaq orang Islam sendiri.

Saya menangis sendirian di bilik hotel mengenangkan insiden yang amat mendukacitakan ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments: