Posted By saifulislam On June 21, 2007 @ 12:03 am
Peserta IYEP membentangkan idea mereka tentang Conflict Solutions
[1] Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) yang baru melabuhkan tirainya semalam, telah memberikan saya pelbagai suntikan idea tentang pelbagai perkara. Banyak yang perlu dianalisa, justeru banyak juga yang perlu ditulis untuk dikongsi bersama pembaca.
Rata-ratanya, saya amat berpuas hati dengan kualiti peserta. Setiap seorang yang memohon untuk menyertai program ini perlu menulis sebuah karangan untuk menyatakan sebab minatnya kepada program seperti ini, dan ia diikuti dengan temubual melalui telefon kepada peserta.
Nyata sekali, assessment itu telah berjaya memilih peserta yang tepat dan saya amat teruja dengan tahap pengetahuan anak-anak muda ini dengan pelbagai isu yang diperkatakan.
Hinggakan Karen Armstrong sendiri mendapat pelbagai ’bahan baru’ yang beliau mohon kebenaran peserta untuk menggunakannya di dalam ucapan dan penulisan. Sememangnya sesi soal jawab dan bengkel telah menonjolkan bahawa 50 warga IYEP kali ini adalah pemimpin masa depan yang hebat, semoga Allah memanjangkan umur saya untuk menyaksikannya.
Namun, keghairahan dan kegembiraan kami dengan pelbagai pengalaman baru, telah tercemar oleh suatu insiden yang amat memalukan, khususnya kepada Islam.